Sunday, 30 March 2014

Ayuh Jadikan Membaca Amalan Kita!!!

Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. 

 Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.




Apabila menyusuri sirah Islam, wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W melalui perantara malaikat Jibril A.S di Gua Hira' ialah "Iqra'" yang bermaksud bacalah. Melalui peristiwa ini, dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa membaca amat dititikberatkan dalam ajaran Islam.

Pepatah Cina juga mengatakan "Buku umpama sebuah taman yang dibawa di dalam poket". Kata-kata yang indah ini menggambarkan betapa berharganya nilai membaca buku. Melalui pembacaan, banyak maklumat dan pengetahuan baru yang diperoleh dan seterusnya dapat dijadikan panduan dan pegangan dalam menjalani kehidupan. 

Buku-buku yang berkaitan pengalaman tokoh misalnya, dapat kita ambil iktibar dan contohi segala sikap baik mereka manakala punca kegagalan atau kesilapan yang mereka hadapi dapat dijadikan iktibar dan sempadan buat kita.

Oleh itu, jadikanlah amalan membaca ini sebagai hobi dan kegemaran kita. Segala ilmu yang ada di dalamnya sentiasa memberikan kita panduan dalam menjadi insan yang seimbang dan berjaya. Ayuh Membaca!












No comments:

Post a Comment